MTU Pastikan Program Pengajian Menepati Standard Kualiti MQA
Isu pengiktirafan akreditasi bukanlah isu baharu dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia. Rata-rata pemegang taruh universiti memandang serius perkara ini yang dilihat bakal memberikan impak kepada graduan semasa proses mencari pekerjaan.
Dalam usaha memastikan isu pengiktirafan akreditasi tidak diviralkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, pihak Universiti Teknikal Malaysia ataupun Malaysian Technical University (MTU) mengambil inisiatif dengan memastikan program pengajian mereka menepati kriteria dan standard kualiti yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia [Malaysia Qualifications Framework (MQF).
Menurut Pengerusi MTU yang juga Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin, akreditasi merupakan pengiktirafan rasmi yang mana sijil, diploma atau ijazah yang dianugerahkan oleh institusi pengajian tinggi telah mencapai tahap standard jaminan kualiti yang telah ditetapkan oleh MQA dan mematuhi MQF.
“Pengiktirafan ini merupakan penerimaan kebolehlaksanaan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan tertentu seperti pengiktirafan MQA melalui Lembaga Jurutera Malaysia [Board of Engineers Malaysia (BEM)] kepada mana-mana program pengajian kejuruteraan adalah layak dipertimbangkan untuk pekerjaan di sektor awam. “Tambahan pula, MQA dan JPA hanya akan mengiktiraf program Kejuruteraan yang telah diiktiraf oleh BEM untuk tujuan berkhidmat di institusi pendidikan tinggi (sektor kerajaan),” katanya.
MTU adalah gabungan empat universiti yang berfokuskan teknikal dan teknologi yang terdiri daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM) dan UTeM sendiri.
Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamaruddin Hussin berkata, sehingga kini UniMAP telah mendapat pengiktirafan akreditasi bagi ke semua 21 program kejuruteraannya oleh BEM dan juga pada masa yang sama turut mendapat pengiktirafan MQA bagi 15 program kejuruteraannya yang dinilai oleh MQA sebelum 2010.
“Bermula 2010, MQA telah menyerahkan tanggungjawab pengendalian pengiktirafan akreditasi kepada BEM untuk menilai program pengajian ijazah kejuruteraan. “Bagi program Diploma pula, MQA dan JPA bertanggungjawab bagi penilaiannya dan UniMAP telahpun mendapat pengiktirafan seumur hidup bagi ke semua enam program Diploma ini,” katanya.
Tambah beliau, MQA dan JPA bagaimanapun akan melakukan penilaian pemantauan kualiti secara berkala bagi tujuan penambahbaikan tanpa menjejaskan pengiktirafan akreditasi tersebut.
Datuk Kamarudin juga yakin ke semua program pengajian MTU akan melalui penilaian akreditasi dan seterusnya mendapat pengiktirafan akreditasi memandangkan proses penambahbaikan kepada program pengajian sentiasa dilaksanakan oleh UniMAP dan MTU secara berperingkat bagi menjamin kualiti pendidikan sentiasa terjaga.