Skip to main content

MTUN perlu lonjak nama di arena antarabangsa, kata Raja Muda Perlis

KANGAR, 22 Nov — Malaysian Technical University Network (MTUN) perlu melonjak namanya di arena antarabangsa dengan bersaing secara sihat dengan universiti penyelidikan terkemuka dunia, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda yakin usaha tersebut akan tercapai jika MTUN bersikap proaktif untuk berasing di samping menggerakkan tenaga pensyarah muda bagi merancakkan bidang penyelidikan hingga ke persada antarabangsa.

Bertitah pada majlis penutup Persidangan Universiti Teknikal Malaysia berkaitan Kejuruteraan dan Teknologi (MUCET) 2012 di sini malam tadi, baginda berharap universiti di bawah MTUN, dapat mengkomersilkan hasil penyelidikan dalam bentuk produk bernilai.
 
 
MTUN dianggotai empat universiti iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Sebanyak 150 peserta termasuk dari Universiti Walailak, Thailand menyertai persidangan selama dua hari itu yang turut membentangkan 119 kertas kerja.

Sempena persidangan itu, UMP memenangi anugerah 'Best of the Best' bagi kertas kerja bertajuk 'Nano Engineering of Aligning Cibacron Brilliant Yellow Using Light: Application In flexible Displays'.

UMP pula memenangi dua emas, dua perak dan satu anugerah industri, manakala UniMAP memenangi dua emas, dua perak dan dua anugerah industri.
Sementara UTeM memenangi satu emas, satu perak, dua gangsa dan satu anugerah industri dan UTHM memenangi satu emas, satu perak, tiga gangsa dan satu anugerah industri.

Universiti Walailak pula memenangi masing-masing satu gangsa dan anugerah industri.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP menyampaikan hadiah utama kepada para pemenang.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan antara yang hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin. — Bernama