Skip to main content

Sejarah & Konsep Penubuhan MTU

MTU bermula dengan penubuhan Kolej Universiti pada awal tahun 2000 yang mengkhusus di dalam penawaran program pengajian tinggi bidang kejuruteraan dan teknologi yang cenderung kepada praktikal/amali. Keempat-empat kolej universiti teknikal tersebut ialah KUiTTHO, KUTKM, KUKTEM dan KUKUM. Bagi menjaga kepentingan bersama, Technical University Colleges Network (TUCN) of Malaysia telah ditubuhkan secara rasmi pada Mac 2006. Pada Februari 2007, keempat-empat kolej universiti ini telah melalui penjenamaan semula sebagai universiti penuh. Universiti tersebut adalah UTHM, UTeM, UMP dan UniMAP. Susulan dari penjenamaan semula ini, TUCN telah ditukar kepada MTUN atau Malaysian Technical University Network. Namun, pada 2015, MTUN telah ditukar kepada MTU sejajar dengan hasrat untuk membangunkan satu konsortium.

Misi penubuhan MTU adalah bagi mendidik serta melatih tenaga manusia yang berkemahiran tinggi bagi menyumbang kepada perindustrian termaju negara (world class industrial nation). Penubuhan MTU juga melengkapi sistem konvensional yang sedia ada. MTU yang dipacu oleh industri (industry driven) ini seharusnya berbeza dan unik berbanding IPTA yang sedia ada.

Sistem pendidikan di MTU berteraskan “Practical Oriented” yang berfokus kepada “problem centred teaching, action & experiential learning”. Penubuhan Pusat Industri Universiti (PIU) sebagai “teaching factory” yang mempunyai konsep yang sama dengan “teaching hospital” membantu pelajar memperoleh latihan dan pengalaman industri yang secukupnya.

GraduanMTU bukan sahaja berketerampilan tinggi, tetapi juga berkemahiran dari segi teori yang menjurus ke arah gunaan (applied), dengan penekanan khusus kepada komponen amali yang lebih daripada universiti konvensional. Faktor ini memberi kelebihan kepada graduan MTU kerana mereka tidak perlu menjalani latihan dalaman seperti mana yang dilalui oleh graduan universiti konvensional lain. Graduan MTU juga tidak memerlukan ‘retooling’ semasa memulakan kerja dan ini menjimatkan kos latihan oleh majikan.