Skip to main content

UTeM Tuan Rumah Mesyuarat Kerjasama Strategik MTUN-POLITEKNIK

02052012 mtun1


Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjadi tuan rumah mesyuarat kerjasama dua hala antara Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan Politeknik yang berlangsung di Kampus Induk Durian Tunggal baru-baru ini.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Prof. Datuk. Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor UTeM dengan dihadiri oleh wakil dari Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta Politeknik Sultan Azlan Shah.

Menurut Ahmad Yusoff ketika ditemui berkata, mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan peluang kerjasama strategik di antara Politeknik dan MTUN yang dianggotai oleh empat buah universiti teknikal iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan UTeM sendiri.

02052012 mtun2

Jelas beliau, perbincangan yang dijalankan menjurus kepada peluang berkolaborasi dengan lebih erat bagi memastikan kesinambungan pengajian pelajar-pelajar Politeknik ke peringkat yang lebih tinggi.

“Justeru, ruang kerjasama dalam pembangunan akademik di antara universiti teknikal dan Politeknik akan dikaji dan ditingkatkan bagi melahirkan modal insan yang kompeten selaras hasrat negara ke arah status negara maju,” kata Ahmad Yusoff.

Beliau turut membentangkan beberapa rancangan kerjasama jangkamasa panjang melibatkan UTeM dan Politeknik dalam menghadapi situasi semasa yang menuntut kepentingan penerapan pembelajaran secara praktikal.

Di akhir mesyuarat, semua wakil Politeknik menyambut baik usaha pelaksanaan kerjasama program akademik Politeknik – MTUN yang bakal memberi manfaat kepada pelajar-pelajar Politeknik terlibat.

 

Sumber : UTeM Press Release